Friday, May 6, 2011

Sharing Is Caring : Tazkirah Jumaat

Sumber: OnDaStreet Wordpress

Tazkirah Jumaat : Anak, Menantu, Ibubapa & Mertua

Pertama sekali, mohon ampun dan maaf kerana kebelakangan ini gagal menyiarkan Tazkirah Jumaat sebagaimana biasa di atas ketidak ada luangan masa untuk online yang panjang melainkan menulis seketika cuma.

Untuk Tazkirah Jumaat kali ini, ingin saya mengulas sedikit sebanyak apa yang kerapkali dilaporkan di media tentang apa yang berlaku dalam hubungan anak menantu dan ibubapa serta mertua. Sebagaimana ramai yang sedia maklum, seorang mertua telah dilaporkan dibelasah menantunya (yang dilaporkan di Harian Metro 2 minggu lalu). Mengikut laporan akhbar, ianya digambarkan menantu itu yang “hantu” kerana membelasah mertuanya tanpa belas kasihan dan kerana cuba campur tangan (cuba menyelamatkan anaknya). Berdasarkan keadaan itu, bolehlah kita beranggapan menantu itu yang hantu kerana membelasah si isteri.

Namun, dalam pada itu, kita juga diingatkan dengan nasihat dan pandangan oleh bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz (berdasarkan laporan Harian Metro juga). Beliau antara lain menyatakan:
“Dalam Islam, apabila anak sudah berkahwin, ibu bapa tidak boleh mencampuri urusan rumah tangga anak-anak kerana dikhuatiri mendatangkan keburukan,”
 “Perlu diingat mentua tidak boleh masuk campur urusan anak mereka melainkan untuk mendamaikan rumah tangga dan ke arah kebaikan,”
Saya pasti ramai ibubapa dan mertua yang masuk campur tangan dengan niat untuk mendamaikan rumah tangga dan ke arah kebaikan mengikut pandangan masing-masing (iaitu pandangan ibubapa atau mertua itu sendiri). Benar, ramai ibubapa dan mertua yang tidak mahu rumahtangga anaknya diakhiri dengan penceraian. Akan tetapi, betulkah cara, pendekatan dan perkara yang ingin dicampuri itu?

Di sinilah persoalan yang amat subjektif dan tidak tetap jawapannya. Di sinilah setiap ibubapa, mertua dan anak menantu perlu bertenang dan menilai keadaan bagaimana yang dibolehkan untuk ibubapa dan mertua campur tangan atau sekadar memberi pandangan dan nasihat (yang kemudiannya terpulang kepada pasangan anak menantu itu untuk mengikutnya atau tidak).

Pastinya rumahtangga sianak menantu (malah ibubapa dan mertua itu sendiri) ada kisah-kisah turun dan naik, menggembirakan dan menyedihkan serta menggusarkan hati. Perkara-perkara itu boleh meliputi urusan penjagaan anak, pengurusan kewangan, pengurusan harta, dan urusan hidup seharian serta akhirat. Secara dasarnya, ibubapa, mertua dan anak menantu perlu mengingat kembali akan detik-detik manis ketika upacara akad nikah. Semua pihak perlu merenung kembali apa yang terkandung dalam khutbah nikah yang dibacakan oleh imam atau tok kadi. Secara amnya, dalam khutbah itu disentuh tanggungjawab suami kepada isteri, isteri kepada suami, tanggungjawab suami isteri itu kepada anak yang bakal dilahirkan. Dan buat ibubapa dan mertua, pastinya tahu, tika akad dan nikah itu sah dilafazkan oleh silelaki, terpindahlah tanggungjawab dunia akhirat dan “hak” siibubapa si perempuan kepada menantu lelaki, dan bermulalah anak menantu melayari kehidupan berdasarkan pengurusan mereka sendiri.

Namun, bukan bermakna sisuami boleh dan sentiasa mengikut kata ibubapanya. Di tangannya kini tanggungjawab menguruskan rumahtangga sendiri. Salah silap dalam pengurusan keluarga, si suami bertanggungjawab. Oleh itu sisuami juga perlu bijak menguruskan rumahtangganya. Jika siibu bapa mahu memberikan pandangan dan nasihat, nilaikanlah dan berbincanglah bersama si isteri untuk kebaikan bersama.

Ini juga bermaksud, ibubapa si suami juga perlu memberi kebebasan dan peluang kepada anak lelakinya menguruskan rumahtangganya sendiri, kerana kelak, yang disoal di Padang Masyar adalah si anak lelaki itu atas apa yang berlaku dalam rumahtangganya, dan bukannya ibubapa si anak lelaki. Janganlah mudah menjatuhkan hukum “derhaka” kepada sianak menantu kerana tidak menurut kehendak ibubapa atau mertua sendiri. Kenapa? Biar saya berikan satu contoh (yang kebiasaannya menyesakkan pemikiran pasangan anak menantu yang boleh membawa kepada perselisihan).

Ibu bapa perempuan mahu cucunya dijaga oleh mereka, dan begitu juga ibubapa si lelaki. Jika pasangan itu tidak diberikan kebebasan membuat keputusan, pastinya begitu mudah jatuhnya hukum “derhaka” kerana tidak mahu mengikut kata ibubapa masing-masing.

Contoh lain yang boleh diberikan adalah saat dan ketika pulang beraya di kampung. Saban tahun pastinya ada pasangan bergaduh mahu balik beraya kerana terdapat desakan daripada ibubapa masing-masing yang mahu anak cucunya pulang beraya bersama mereka. Adilkah jika menggunakan hujah si isteri perlu mengikut kata suami semata? Adilkah sisuami memutuskan perhubungan isteri dan anaknya dengan mertuanya?

Nah, ini antara dilema pasangan anak menantu jika didesak oleh ibubapa mereka dan tidak memberi ruang dan peluang untuk anak menantu menguruskan rumahtangga mereka sendiri. Ini belum termasuk campurtangan pengurusan harta si anak menantu. Contoh situasi yang mungkin tertimbul dalam hal ini adalah ibubapa si isteri mahukan anak perempuannya membeli harta yang diinginkan oleh mereka kerana menurut hujah, si suami tidak berhak ke atas harta si isteri. Padahal, si suami mengizinkan si isteri bekerja untuk membantunya menguruskan keluarga. Bagaimana?

Benar, dari satu sudut, si suami itu tidak berhak ke atas pendapatan isterinya, tetapi dari satu sudut yang lain, jika si suami tidak mengizinkan si isteri keluar rumah, apa akan jadi pada pendapatan tersebut? Apa jatuh hukumnya jika si isteri tetap keluar rumah tanpa keizinan suami?

Oleh itu, biarkanlah anak menantu menguruskan keluarga mereka mengikut cara dan kemampuan mereka. Sebagai ibubapa dan mertua, biarkanlah, pantaulah dari jauh. Jika apa yang dilakukan oleh mereka melanggar hukum agama dan alam, barulah masuk campur tangan secara berhikmah. Selain daripada itu, cukuplah sekadar memberi nasihat dan pandangan serta biarkanlah mereka menentukan jalan yang mereka pilih.

Renung-renungkanlah Tazkirah Jumaat kali ini. Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku dan apa yang ternukil pada Tazkirah Jumaat kali ini.

Wallahualam…

2 comments:

FARAHNYEMAHMULYA said...

setuju 200%

Anonymous said...

OnDaStreet Wordpress ni siape? ustaz? ustazah?

boleh kita petik mana-mana 'takzirah' kononnya, tapi make sure kelayakan orang yang bercakap.

hati-hati. ini sebab orang islam sekarang banyak sesat. dengan ustaz/ustazah depan berdepan tak mahu bertanya. tapi petik dari internet yang entah apa kelulusan dia.

mereka-mereka ni kadang-kadang ilmu tak ada, tafsir sendiri. itu yang suku saja dato' abu hassan din cakap, yang tiga suku lagi? dan betulkah konteks senario yang diambil?

ustaz, ulama dan ilmu agama bukan boleh tafsir ikut logik semata. perlu berawas :-

"sometimes 'islamic-logic' defiance 'human-based-logic' and did not comply to 'western-based-logic'"

sepotong ayat al-quran tak boleh dijadikan rujukan semata. tetapi quran itu sendiri as a whole + sunnah. dan kemudian kena tengok pula siapa yang jadi tukang tafsirnya itu, 'cantik' kah nasab ilmunya dan bertauliah kah.